KUALA LUMPUR: “Dia calon terbaik untuk anak saya kerana dia bukan saja cantik tetapi tinggi budi pekerti,” kata Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Shukor, bapa kepada angkasawan pertama negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor mengenai bakal menantunya, Dr Halina Mohd Yunos.Menurutnya, beliau sekeluarga merestui perhubungan anaknya dan Dr Halina yang juga seorang doktor aestetik di Pusat Kecergasan Wanita PrimaNora di Taman Tun Dr Ismail, di sini, malah mengakui mengenalinya sejak keduanya berkenalan lima tahun lalu.“Kami sudah menganggap Dr Halina sebagai salah seorang ahli keluarga sejak mereka berkenalan. Namun, perhubungan itu sedikit renggang selepas anak saya mahu menumpukan sepenuh perhatian terhadap misi negara,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.Sheikh Mustapha berkata, Dr Halina juga sering membantunya dan isteri, Datin Zuraida Sheikh Ahmad untuk pemeriksaan kesihatan ketika dia bertugas di Hospital Selayang, dekat sini, membuatkan mereka yakin dan senang dengan pilihan anaknya.
Menceritakan semula bagaimana timbul keinginan anaknya itu untuk berkahwin, beliau berkata, ia timbul selepas misi anaknya itu ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) berjaya dilaksanakan sebelum dia pulang ke tanah air untuk pengebumian adiknya, Allahyarham Sheikh Mustaffa Shukor Al Masrie, 32.
“Mus beritahu hatinya terlalu kosong, terutama selepas adiknya meninggal dunia pada 27 Oktober lalu,” katanya.Menurutnya, dia memberitahu untuk berkahwin dan hanya teringatkan nama Dr Halina yang mampu mengisi kekosongan hatinya itu.“Beliau juga berbisik kepada ibunya untuk mencari semula Dr Halina bertujuan memberitahu sesuatu perkara yang sangat penting,” katanya.Sheikh Mustapha juga menasihatkan Dr Halina supaya kuat semangat dan menyedari status anaknya yang kini ikon negara dengan memahami tanggungjawabnya yang memerlukannya berjumpa orang ramai.“Dalam hal ini, Dr Halina perlu bertolak ansur dengan anak saya agar membataskan perasaan cemburunya, maklumlah dia (Sheikh Muszaphar) perlu jumpa ramai orang,” katanya.Katanya, sebelum ini isterinya cuba mencarikan pasangan angkasawan pertama negara itu, namun dia menolak kerana hatinya lebih berkenan dengan seseorang yang 'simple' dan mengikut budaya Timur, iaitu lebih tepat menepati ciri-ciri yang ada pada Dr Halina.Ditanya tarikh yang bakal dipilih untuk menjadi detik bersejarah pada anaknya itu, beliau berkata, beberapa tarikh penting berkaitan anaknya termasuk detik bersejarah ke ISS pada 10 Oktober lalu akan dipertimbangkan.“Saya pasti tarikh penting pernah terjadi dalam hidup anak saya termasuk hari lahirnya atau hari dia naik ke ISS akan dipilih, selain pertunangan sudah ditetapkan akan dibuat tahun depan,” katanya.Bulan lalu, Dr Sheikh Muszaphar yang juga doktor bedah ortopedik Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) menyuarakan keinginannya untuk menamatkan zaman bujangnya antara 2008 atau 2009 ketika diraikan dalam satu majlis anjuran Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) di Dewan Rakyat.Keadaan itu menyebabkan pelbagai spekulasi mengenai siapa gadis yang berjaya menawan hati ikon terbaru negara itu tersebar dan ia akhirnya terjawab apabila beliau membawa Dr Halina ke Majlis Malam Media anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kelmarin.