Saturday, November 24, 2007

‘Kami dah kenal lima tahun lalu’


Harian Metro...24 Nov 2007 Sabtu


KUALA LUMPUR: “Persahabatan kami terjalin lima tahun lalu, namun ketika itu hanya sebagai kawan biasa. Tanpa disedari ia menjadi akrab dan bertukar mesra sejak dua tahun kebelakangan ini,” akui gadis manis yang berjaya bertakhta di hati Angkasawan Negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, 35.Dr Halina Mohd Yunos, 27, berkata dia selesa berkawan dengan Dr Sheikh Muszaphar dan menganggap lelaki hebat itu sebagai seorang yang baik budi pekertinya dan bersifat merendah diri.Menurutnya, pertemuan pertama mereka berlaku ketika dia baru memulakan pengajian dalam jurusan perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) manakala Dr Sheikh Muszaphar mengikuti pengajian perubatan lanjutan.Perkenalan awal katanya, hanya berkisar mengenai perbincangan pelajaran serta tugasan di makmal dan tidak lebih daripada itu, namun tanpa disedari, lama kelamaan ia membuahkan bibit cinta.
“Malah keluarga kedua-dua belah pihak juga mengetahui hubungan kami sejak awal ia terjalin,” katanya yang seolah-olah bersedia dengan soalan yang bakal diajukan wartawan.
Jika Dr Halina bukan gadis pilihan Dr Sheikh Muszaphar yang baru-baru ini mengumumkan akan menamatkan zaman bujangnya dalam tempoh terdekat, pasti dia tidak akan membawa wanita itu pada majlis yang dikhaskan untuk meraikan media.Pasangan itu memeranjatkan hadirin pada Majlis Malam Media anjuran UKM di Hotel Nikko, Jalan Ampang di sini, malam tadi.Mereka muncul dalam dewan kira-kira jam 10.45 malam dan terus menuju meja utama sebelum bersalaman dengan Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabuddin.Ketika itu, Dr Sheikh Muszaphar berpegangan tangan dengan Dr Halina dan kemudian naik ke pentas apabila jurufoto media meminta untuk merakamkan gambar mereka berdua.Pakaian sedondon hijau yang digayakan pasangan itu menggambarkan mereka mempunyai cita rasa sama dan sedia berkongsi hidup.Dr Halina, anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan, kini bertugas sebagai pegawai aestetik di Pusat Kecergasan Wanita PrimaNora di Taman Tun Dr Ismail di sini, berkata kali terakhir dia mengunjungi keluarga Dr Sheikh Muszaphar semalam (kelmarin) dan menyifatkan keluarga teman lelakinya berhemah tinggi.Nada suaranya yang sentiasa ceria memberi gambaran keluarga kedua-dua pihak merestui hubungan murni mereka.Ditanya sama ada mereka akan menamatkan zaman bujang dalam tempoh terdekat, Dr Halina dengan nada suara perlahan berkata, soalan itu perlu diajukan kepada Dr Sheikh Muszaphar sendiri.Sesuai dengan kerjaya yang disandang, penampilan ringkas Dr Halina dengan baju kurung dilengkapi rantai labuh dan sepasang subang gantung menyerlahkan lagi penampilannya.Dr Sheikh Muszaphar pula ketika diajukan pertanyaan mengenai hubungan istimewanya begitu berhati-hati menjawab dengan berkata, beliau akan membuat pengumuman rasmi mengenainya tidak lama lagi.Bagaimanapun, katanya buat masa kini, dia sibuk memberi tumpuan kepada tugasan terutama dalam menyiapkan hasil penyelidikan ketika di angkasa.Sekembali dari Amsterdam, Belanda, Selasa lalu, Dr Sheikh Muszhapar dilaporkan memberitahu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Jamaluddin Jarjis, beliau akan bertunang tahun depan.Sementara itu, Dr Jamaluddin mengesahkan angkasawan pertama negara itu akan mengikat tali pertunangan dengan seorang wanita tempatan, tahun depan. “Saya berjumpa Sheikh Muszaphar semalam (kelmarin), sekembalinya dari Amsterdam dan beliau mengesahkan perkara itu,” katanya pada sidang media mengenai Pameran dan Persidangan Inovasi Kebangsaan 2007 di sini, semalam.“Sheikh Muszaphar juga memaklumkan yang beliau sudah mengenali pilihan hatinya itu lebih lima tahun,” katanya yang enggan mengulas tarikh pertunangan itu.

Bakal isteri angkasawan negara?


Utusan Malaysia..24 November 2007 Sabtu

Adakah gadis (kiri) ini calon isteri angkasawan negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha?
Kehadiran gadis berbaju batik hijau muda mengiringi angkasawan negara itu ke majlis pelancaran Festival Antarabangsa Batik Malaysia di Esplanade KLCC malam ini, menarik perhatian para hadirin.
Malah, seorang petugas yang melihat kelibat gadis itu memakai pakaian sedondon dengan Sheikh Muszaphar yang mengenakan baju batik berwarna hijau tua, secara spontan berkata: ‘‘Tunang angkasawan negara.’’
Pada 5 November lalu, Sheikh Muszaphar, 35, mengumumkan hasrat berkahwin sebelum 2009.
Justeru, kehadiran beliau bersama gadis berkulit cerah dan berambut ikal melebihi paras bahu itu menimbulkan pelbagai persoalan.
Gadis itu sebenarnya ialah Dr. Halina Mohd. Yunos, 27, doktor perubatan dalam bidang kecantikan (estetik) di PrimaNora Women”s Wellness Centre.
Bagaimanapun, pada majlis tersebut, beliau dan Dr. Halina duduk berasingan di tempat yang disediakan oleh pihak penganjur.
Mereka juga kelihatan jarang berbual disebabkan Sheikh Muszaphar ‘agak sibuk’ melayan tetamu yang ingin bergambar dan mendengar secara langsung pengalaman beliau berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
Utusan Malaysia yang dimaklumkan lebih awal akan kehadiran ‘teman istimewa’ angkasawan negara itu cuba mendapatkan reaksi dan kepastian daripada beliau.
‘‘Saya suka kehidupan peribadi saya tidak menjadi perhatian umum. Saya lebih berharap orang ramai dan pihak media lebih menumpukan kepada kejayaan penyelidikan yang dibuat dan lebih memberi inspirasi kepada program angkasawan,’’ katanya.
Selepas majlis batik itu, kedua-dua pasangan itu, malam ini turut bersama-sama menghadiri majlis mesra Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama media di sini.
Dr. Halina ketika ditemui berkata: ‘‘Dr. Muszaphar ialah seorang yang baik.’’
Katanya, mereka bersahabat baik ketika bersama-sama belajar di UKM.
‘‘Keluarga saya dan keluarga Dr. Muszaphar sudah mengenali antara satu sama lain.’’
Sementara itu, Dr. Muszaphar sekali lagi meminta pihak media jangan mensensasikan ‘‘soal peribadinya” itu.
Ditanya adakah Dr. Halina pilihan hatinya, beliau hanya tersenyum.

Dr.Syeikh terkejut

PULANG: Dr Sheikh Muszaphar melambai kepada petugas media ketika tiba di KLIA, semalam.

Sementara itu, Dr Sheikh Muszaphar Shukor terkejut dengan musibah yang menimpa Dr Faiz dan berhasrat menemui rakan seperjuangannya itu secepat mungkin. "Saya terkejut dengan apa yang berlaku. Saya akan cuba berjumpa dengannya hari ini," katanya sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang dari Amsterdam, Belanda awal pagi semalam. Sambil melahirkan simpati terhadap apa yang berlaku, Dr Sheikh Muszaphar Shukor berharap Dr Faiz banyak bersabar dan segera sembuh. Mengenai rancangannya, Dr Sheikh Muszaphar Shukor berkata, beliau sudah bersedia menjalankan misi menjelajah ke seluruh negara untuk menceritakan pengalamannya di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) terutama kepada penduduk di luar bandar dan pedalaman. Beliau yang turut menerima jemputan daripada negara luar yang ingin mengetahui pengalamannya di ISS, berkata beliau akan terlebih dulu berkongsi pengalaman dengan rakyat negara ini terutama kepada pelajar sekolah dan penuntut di institut pengajian tinggi.

Lawan Perompak

KUALA LUMPUR: Angkasawan Negara, Mejar Dr Faiz Khaleed, yang cedera tangan kirinya selepas ditetak dalam kejadian samun di depan rumahnya di Taman Mawar, Cheras awal pagi kelmarin, nekad melawan perompak terbabit demi keselamatan rakannya. Menceritakan kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, Dr Faiz, 27, berkata dua lelaki menghampiri kereta Perodua Kenari yang dinaikinya bersama seorang rakan sebaik mereka tiba di depan rumahnya. “Seorang daripada lelaki itu menolak saya sebaik saya keluar dari kereta, manakala seorang lagi menghampiri rakan saya dan meletakkan parang pada lehernya.
“Melihat keadaan kritikal itu, saya menendang lelaki yang menolak saya. Dia kemudian melibas parangnya menyebabkan saya berundur sambil menahan tangan untuk mempertahankan diri,” katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Gleneagles di Jalan Ampang di sini, semalam. Berikutan tetakan itu, tangan kirinya mengalami luka serius sehingga lapan tendon berhampiran pergelangan tangan itu putus dan terpaksa menerima lebih 100 jahitan untuk disambung semula. Dr Faiz berkata, beliau hanya memikirkan untuk mengalih perhatian kedua-dua lelaki itu supaya tidak mencederakan rakannya.
“Saya lebih rela mereka menyerang saya kerana saya berada dalam keadaan bersedia berbanding rakan. Sebaik saja lelaki itu mengalihkan parangnya daripada leher rakan, saya terus membuka pintu pagar rumah menggunakan alat kawalan jauh untuk menakutkan mereka. “Ia berjaya... mereka terus melarikan diri menaiki motosikal kerana menyangka keluarga saya menyedari kejadian itu,” katanya sambil menambah, beliau hanya menyedari kecederaannya agak serius ketika memandu ke Pusat Perubatan Gleneagles. Dr Faiz dijangka pulih sepenuhnya dalam masa satu bulan setengah dan perlu menjalani rawatan fisioterapi dari semasa ke semasa bagi menguatkan kembali tangannya. “Jangan bimbang kerana kecederaan ini akan pulih tidak lama lagi. Saya tidak sabar untuk kembali bertugas seperti biasa dan bersedia mengikuti latihan angkasawan yang dijangka bermula tahun depan,” katanya.

Sementara itu, polis mengambil keterangan Dr Faiz kira-kira jam 11 pagi semalam, bagi membantu siasatan kes itu termasuk mendapatkan gambaran wajah kedua-dua lelaki yang menyerangnya. Polis percaya kejadian itu bermotifkan ragut dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. Difahamkan, polis belum mengenal pasti suspek tetapi tidak menolak kemungkinan mereka turut terbabit dalam beberapa kes yang sama di kawasan berhampiran sebelum ini.