“Melihat keadaan kritikal itu, saya menendang lelaki yang menolak saya. Dia kemudian melibas parangnya menyebabkan saya berundur sambil menahan tangan untuk mempertahankan diri,” katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Gleneagles di Jalan Ampang di sini, semalam. Berikutan tetakan itu, tangan kirinya mengalami luka serius sehingga lapan tendon berhampiran pergelangan tangan itu putus dan terpaksa menerima lebih 100 jahitan untuk disambung semula. Dr Faiz berkata, beliau hanya memikirkan untuk mengalih perhatian kedua-dua lelaki itu supaya tidak mencederakan rakannya.
“Saya lebih rela mereka menyerang saya kerana saya berada dalam keadaan bersedia berbanding rakan. Sebaik saja lelaki itu mengalihkan parangnya daripada leher rakan, saya terus membuka pintu pagar rumah menggunakan alat kawalan jauh untuk menakutkan mereka. “Ia berjaya... mereka terus melarikan diri menaiki motosikal kerana menyangka keluarga saya menyedari kejadian itu,” katanya sambil menambah, beliau hanya menyedari kecederaannya agak serius ketika memandu ke Pusat Perubatan Gleneagles. Dr Faiz dijangka pulih sepenuhnya dalam masa satu bulan setengah dan perlu menjalani rawatan fisioterapi dari semasa ke semasa bagi menguatkan kembali tangannya. “Jangan bimbang kerana kecederaan ini akan pulih tidak lama lagi. Saya tidak sabar untuk kembali bertugas seperti biasa dan bersedia mengikuti latihan angkasawan yang dijangka bermula tahun depan,” katanya.
Sementara itu, polis mengambil keterangan Dr Faiz kira-kira jam 11 pagi semalam, bagi membantu siasatan kes itu termasuk mendapatkan gambaran wajah kedua-dua lelaki yang menyerangnya. Polis percaya kejadian itu bermotifkan ragut dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. Difahamkan, polis belum mengenal pasti suspek tetapi tidak menolak kemungkinan mereka turut terbabit dalam beberapa kes yang sama di kawasan berhampiran sebelum ini.
No comments:
Post a Comment