Wednesday, November 07, 2007

MoU aeroangkasa tahun depan


KEJAYAAN NEGARA: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin

menerima cenderahati daripada

Dr Sheikh Muszaphar Shukor (kiri) dan

Dr Faiz pada majlis menghadap di Istana Terengganu

di Kuala Lumpur, semalam.


TURUT BERMINAT: Anakanda Yang di-Pertuan Agong,

Tengku Fatmatul Zaharah, 6

bergambar dengan Dr Sheikh Muszaphar Shukor dan Dr Faiz, semalam.

Butiran lengkap program akan dibentang kepada Kabinet untuk kelulusan: Jamaluddin

KUALA LUMPUR: Butiran lengkap memorandum persefahaman (MoU) program pembangunan industri aeroangkasa bagi jangka panjang dengan Russia, dijangka dibentangkan kepada Kabinet untuk kelulusan awal tahun depan. Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis, berkata proses perbincangan dengan negara terbabit menerusi Agensi Angkasa Russia (Roscosmos) dimulakan sebaik mendapat tawaran itu, baru-baru ini. Katanya, kajian terperinci perlu dilakukan sebelum butiran MoU itu dimuktamadkan dan ditandatangani, sekali gus diperakukan Kabinet bagi memastikan ia memberi faedah kepada rakyat dan negara ini.
"Antara perkara penting yang dijangka dimasukkan dalam MoU itu adalah pengesahan kerajaan menerima tawaran Russia untuk menghantar seorang lagi angkasawan negara pada 2010 atau 2011," katanya. Beliau berkata demikian selepas bersama dua angkasawan negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan Mejar Dr Faiz Khaleed mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di pejabatnya, di sini, semalam.

Selain penghantaran angkasawan kedua, MoU dengan Russia itu dijangka membabitkan cadangan kerjasama menempatkan satelit komunikasi negara di angkasa, di samping membantu RazakSat, satelit remote sensing Malaysia. Selain itu, Russia menjemput Malaysia mengambil bahagian dalam Sistem Satelit Navigasi Orbit Global Russia (Glonass) iaitu sistem yang menggunakan isyarat radio bagi mengesan manusia dan kenderaan di atas permukaan bumi. Glonass dikendalikan Russian Space Forces. Sistem sama di Amerika Syarikat ialah Sistem Pengesanan Global (GPS). Jamaluddin juga mengesahkan Dr Muszaphar dan Dr Faiz akan berlepas ke Moscow pada malam Isnin atau pagi Selasa ini, untuk menghadiri upacara penerimaan anugerah pengiktirafan sebagai angkasawan daripada Roscosmos.


http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Nasional/20071103001140/Article/

No comments: